2009年3月9日 星期一

Ibarat gambaran kiamat -- Pengalaman Mercy, pasukan bantuan pertama tiba di Banda Aceh
KUALA LUMPUR 8 Jan. - Bagaimana dahsyatnya kehancuran Banda Aceh dan sekitarnya begitu juga hebatnya kesengsaraan yang ditanggung oleh pesakit mangsa-mangsa bencana gempa bumi dan gelombang maut tsunami.
Tiada perkataan yang dapat menggambarkan kesengsaraan dan kesakitan mereka.
Bayangkan, lumpur hitam dan pekat mengalir keluar dari gegendang telinga dan hampir semua rongga mangsa-mangsa yang menerima rawatan.
Bayangkan juga lumpur yang sama bercampur rumput-rumput dan dalam sesetengah kes, ulat-ulat yang merenyut disedut keluar dari paru-paru mangsa.

Keadaannya terlalu teruk dan saya melihat sendiri ada sesetengah mangsa yang muntah lumpur.

Kanak-kanak pula bergelut untuk menarik nafas sehingga hampir tidak mengeluarkan sebarang bunyi kerana paru-paru mereka padat dipenuhi lumpur,'' cerita Presiden Persatuan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia, Dr. Jemilah Mahmood kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Sudah tidak kelihatan seperti manusia kerana seluruh tubuh mereka bersalut lumpur,'' tambah beliau yang merujuk kepada mangsa-mangsa tsunami yang berada di hospital.

Jadi kita kena bersihkan pesakit-pesakit itu, tetapi masalahnya, mereka tidak ada pakaian salin yang lain,'' tambahnya.
Beliau memberi gambaran para pesakit mangsa tsunami yang dirawat di hospital yang keadaannya cukup menyayat dan menyentuh perasaan mereka yang melihatnya.
Dr. Jemilah yang pulang ke tanah air semalam berkata, akibat terlampau banyak tertelan lumpur, mangsa-mangsa berkenaan dan paling menyedihkan kanak-kanak mengalami masalah komplikasi radang paru-paru yang teruk.
Jelas beliau, daripada cerita-cerita mangsa yang terselamat, ombak besar itu menggulung naik ke darat membawa bersamanya kandungan tanah dari perut bumi selepas kejadian gempa bumi 9.0 pada skala Richter itu.

Mereka percaya air itu bukan air laut biasa, tetapi mengandungi asid.
Apa yang dirempuh oleh air itu mati, baik manusia, pokok mahupun rumput,'' katanya.
Dr. Jemilah berkata, kebanyakan mangsa yang terselamat itu juga dipercayai tertelan air berlumpur yang hitam dan pekat itu, masuk ke dalam perut dan paru-paru.

Kita terpaksa menyedut lumpur itu dari paru-paru mereka sebelum dapat memberikan rawatan,'' katanya.
Dr. Jemilah yang mengetuai pasukan kedua Mercy Malaysia berada di Aceh sejak 29 Disember lalu - dua hari selepas bencana tsunami dari Lautan Hindi yang melanggar beberapa negara Asia.
Mercy Malaysia adalah pasukan bantuan perubatan antarabangsa pertama memasuki Banda Aceh - antara bandar yang musnah teruk dengan menghantar pasukan penilai pada 28 Disember lalu.
Dr. Jemilah juga menceritakan tentang keadaan mangsa-mangsa yang mengalami trauma akibat bencana dahsyat itu.
Mereka katanya, berjalan seperti orang sasau - terpinga-pinga kebingungan dengan mata yang tidak menunjukkan sebarang emosi.

Mereka tidak tahu ke mana hendak dituju, ke sana ke mari mencari anggota keluarga,'' katanya.
Ditanya tentang semangat mereka yang terselamat itu bertarung meneruskan hidup, Dr. Jemilah berkata: ``Semangat mereka sangat mengharukan saya.''
Katanya, ada mangsa yang sudah patah terkulai tangannya atau tulang tersembul keluar di kaki, tetapi masih kuat berjalan datang ke hospital.

Ada yang terpaksa dijahit tanpa menggunakan bius, tetapi tidak meraung,'' katanya.
Ditanya apakah yang disaksikan olehnya sebaik sampai di Banda Aceh, Dr. Jemilah dengan penuh sebak menyatakan, beliau seperti melihat gambaran kiamat di depan mata.
Jelas beliau, apa yang diceritakan dalam al-Quran tentang hari kiamat itu semuanya berlaku - orang bertempiaran, anak terlepas dari tangan, ibu mengandung melahirkan anak.
Kebenaran peringatan kitab suci katanya jelas terbukti apabila beliau dan anggota pasukan Mercy Malaysia menyaksikan jenazah seorang ibu bergelimpangan dengan janin yang masih melekat tali pusat terkeluar daripada rahim.

Ini sangat menginsafkan. Kami terpaksa berdepan emosi diri sendiri, emosi pesakit dan keadaan sekeliling.

Ia sesuatu yang sangat mencabar dan dalam keadaan itu semua, saya terpaksa mengekalkan semangat para sukarelawan,'' katanya.

沒有留言:

張貼留言