2009年3月9日 星期一

Acheh hadapi krisis mayat -- Kurang tenaga, peralatan kebumikan lebih 80,000 korban tsunami bergelimpangan
JAKARTA 2 Jan. - Pemerintah Indonesia akan meningkatkan keupayaan menguburkan sekurang-kurangnya 6,000 mayat sehari yang masih bergelimpangan di seluruh pelosok Acheh akibat gempa bumi dan ombak tsunami.

Setakat ini 80,259 orang disahkan terkorban walaupun anggaran 400,000 penduduk Acheh maut dalam malapetaka itu.
Menteri Penyelaras Politik dan Keamanan, Alwi Shihab berkata, sebelum ini pihak tentera dan sukarelawan hanya mampu menguburkan kira-kira 4,000 mayat sehari kerana kekurangan tenaga dan peralatan.
Setakat hari ini sebanyak 50 buah kumpulan sukarelawan antarabangsa tiba di wilayah Acheh untuk memberi pelbagai bantuan termasuk mengebumikan mayat.
Alwi yang meninjau Pos Pengendalian Bencana Alam di Pangkalan Udara Iskandar Muda Banda Acheh hari ini menjelaskan, mencari dan mengeluar mayat merupakan tugas berat kerana banyak yang tersepit di celah-celah runtuhan bangunan.

Bagaimanapun usaha menangani bencana setakat ini berjalan baik, antaranya banyak daerah sudah boleh kita masuki melalui udara dan laut,'' katanya yang diberi tanggungjawab terhadap pentadbiran wilayah Acheh.
Antara daerah yang teruk terjejas dengan gempa dan ombak tsunami ialah Banda Acheh dan Acheh Jaya yang mengorbankan 15,000 orang, Acheh Besar (14,000), Pulau Sabang (12,000) dan Meulaboh (10,200).

Jumlah korban dijangka terus meningkat kerana proses mencari mayat masih giat dijalankan terutama di kawasan pantai barat Acheh yang sukar dimasuki melalui darat dan laut kerana prasarana musnah.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sebelum ini meminta semua pihak berusaha untuk menguburkan mayat mangsa gempa dan ombak tsunami secepat mungkin bagi mengelak serangan penyakit kepada mangsa yang selamat.
Sementara itu, jurucakap Pasukan Operasi Bencana, Kolonel Ahmad Yani berkata, pihaknya telah menerima banyak bantuan masyarakat antarabangsa yang menghantar pasukan kemanusiaan.

Katanya, tentera Amerika Syarikat (AS) menggunakan helikopter Sea Hawk yang berpangkalan di kapal induk Abraham Lincoln membantu mengagih-agihkan bantuan ke lokasi yang tidak boleh dimasuki melalui jalan darat mulai semalam.

Helikopter ini turut membawa anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat serta menghulurkan bantuan lainnya,'' jelasnya.
Kata beliau, pasukan TNI juga telah dikerah ke kawasan-kawasan yang tidak dapat dilalui melalui jalan udara menggunakan trak tentera.
Tambahnya, pengagihan bantuan kemanusiaan ke daerah-daerah Acheh juga dikawal ketat bagi menghadapi kemungkinan ancaman dari serangan Gerakan Acheh Merdeka (GAM). - Utusan

沒有留言:

張貼留言